Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

70,000 rakyat Selangor nikmati data internet percuma setahun

SHAH ALAM, 4 OGOS: Seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) yang dilengkapi data internet secara percuma selama 12 bulan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel).

Beliau menjelaskan manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi akan terlibat secara langsung dalam penyediaan data internet seterusnya membantu melancarkan kehidupan seharian secara lebih teratur,” katanya dalam pengumuman khas Data Internet Selangor yang disiar secara langsung di Facebook.

“Dalam pada kita membiasakan diri dengan kehidupan norma baharu dengan peniaga perlu menggunakan saluran pendigitalan serta rakyat perlu menyesuaikan diri dengan bekerja dan belajar dari rumah, semua ini memerlukan jumlah penggunaan data internet bagi kelancaran sesuatu aktiviti.”

Amirudin berkata inisiatif bernilai RM17.5 juta, yang juga sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 dibiayai sepenuhnya oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Beliau berkata setiap EXCO, Ahli Dewan Negeri dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) bertanggungjawab dalam memastikan golongan sasar mendapat manfaat.

Berikut penerangan lanjut :

1. EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim
-Mengenal pasti penerima dalam kalangan peniaga e-bazar Selangor dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec)

2. EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim
-Bekerjasama dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) untuk membantu petani memasarkan produk yang dihasilkan atau mendapat bekalan

3. EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail
-Peniaga yang berdaftar dengan Platform Selangor
-Peniaga program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec)
-Pemandu e-panggilan Grab
-Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di www.platselangor.com

4. EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman
-Bekerjasama dengan pihak universiti bagi mengenal pasti belia yang sedang mengikuti pengajian di Unisel, Kuis dan STDC

5. EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah
-Upen menyelaras ketua kampung dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)

6. EXCO Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Ng Sze Han
– Upen menyelaras ketua kampung baharu dan bagan serta setiausaha

7. EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau
-Upen menyelaras ketua komuniti India

8. EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni
-Jabatan Agama Islam Selangor akan membantu mengenal pasti nazir, imam, bilal dan siak serta penceramah yang bertauliah di Selangor

9. EXCO Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud
-Upen mengesan ibu tunggal yang layak

10. EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian
-Jabatan Kemajuan Orang Asli akan menyelaras pemberian kad SIM kepada Orang Asli yang layak