Categories
AGENDA NASIONAL

8.9 tan makanan ikan tanpa permit dari China dirampas

SHAH ALAM, 14 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas sejumlah 8,938 kilogram (kg) makanan ikan dari China di Pelabuhan Klang Barat, dekat sini, kelmarin.

MAQIS Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan kontena yang membawa makanan ikan dianggarkan bernilai RM98,466.73 itu ditahan susulan pemeriksaan rutin yang dilakukan pada jam 5 petang.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati makanan ikan yang telah diproses itu tidak mempunyai permit import yang sah dikeluarkan oleh MAQIS,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

— BERNAMA