Categories
AGENDA NASIONAL

ADN: Borang mohon data internet percuma diedar dalam talian esok

PETALING JAYA, 6 OGOS: Borang permohonan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) akan diedarkan kepada penduduk Seri Setia secara dalam talian selewat-lewatnya esok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata 200 pemohon layak menikmati kemudahan data internet percuma selama 12 bulan akan dipilih selepas tarikh tutup pada 25 September.

“Permohonan diterima akan dinilai supaya mereka yang benar-benar layak akan mendapat kad SIM dijangka pada 1 Oktober.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Tumpuan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan ibu tunggal yang mempunyai anak-anak masih bersekolah bagi memudahkan pembelajaran mereka,” kata Halimey Abu Bakar.

Beliau ditemui selepas mengagihkan pek makanan asas kepada 100 individu terjejas pendapatan akibat Covid-19 di perkarangan pusat khidmatnya di sini hari ini.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif Data Internet Selangor yang akan memanfaatkan 70,000 rakyat di Selangor.

Inisiatif bernilai RM17.5 juta, yang juga sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 dibiayai sepenuhnya oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

EXCO, ADN dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) bertanggungjawab dalam memastikan golongan sasar mendapat manfaat terbabit.