Categories
AGENDA NASIONAL

Empat individu ditahan guna identiti orang lain daftar vaksin

MELAKA, 23 OGOS: Empat individu melibatkan seorang lelaki warga tempatan dan tiga wanita warga asing ditahan kerana dipercayai menggunakan identiti orang lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata kesemua suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu, ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bandar Hilir antara jam 2.30 petang hingga 7.30 malam pada Rabu lepas.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan seorang wanita warga asing berusia 30 tahun yang ditahan ketika hadir mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19 di sebuah klinik di Bandar Hilir kira-kira 2.30 petang.

“Semakan yang dilakukan ke atas aplikasi MySejahtera yang digunakan suspek mendapati maklumat identiti yang didaftarkan di aplikasi itu adalah milik individu lain.

“Polis turut merampas kad vaksin atas nama suspek, i-kad warga asing yang dipercayai palsu, salinan pasport yang telah tamat tempoh dan telefon bimbit yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata susulan tangkapan berkenaan, dua lagi wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia 35 hingga 40 tahun ditahan di sebuah rumah di Bandar Hilir kira-kira 7 malam, hari sama.

Katanya, semua suspek berkenaan direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kemungkinan terlibat dalam sindiket penipuan menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Sundra berkata tiga wanita warga asing itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan maklumat pengenalan diri warga tempatan digunakan individu warga asing bagi tujuan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

“Pihak polis memandang serius segala aktiviti penyalahgunaan identiti individu lain dalam MySejahtera bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

-BERNAMA