Categories
EXCO SELANGOR

Enakmen Majlis Belia Selangor dibawa dalam sidang dewan negeri

SHAH ALAM, 15 OGOS: Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor (PeBS) antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan pada akhir bulan ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata enakmen baharu itu sedang dirangka bagi memastikan semua persatuan belia negeri ini ditadbir bawah satu pergerakan.

“Langkah tersebut antara lain membolehkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memfokuskan sepenuhnya terhadap aspek pembangunan sukan di negeri ini.

“Saya akan beri penambahbaikan terhadap PeBS termasuk mewujudkan entiti mereka sendiri selain melihat masalah pekerjaan dalam kalangan belia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan cek cura program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) berjumlah RM343,080 di perkarangan Dewan MBSA Seri Pagi, Seksyen U19 di sini hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Dewan Negeri Paya Jaras berharap semua wakil rakyat dapat terlibat dalam memberi cadangan penambahbaikan terhadap Kerajaan Negeri sepanjang persidangan tersebut.

“Saya berharap mereka (wakil rakyat) bukan sahaja mencari kelemahan tetapi sama-sama membangunkan Kerajaan Negeri,” katanya.

DNS dijadual bersidang pada 23 Ogos hingga 6 September depan.