Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah kelahiran turun, kematian naik April-Jun 2021

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Jumlah kelahiran di Malaysia yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini menurun sebanyak 4.4 peratus iaitu 111,573 berbanding 116,688 kelahiran bagi tempoh sama pada 2020, menurut laporan Perangkaan Demografi hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika mengulas mengenai laporan itu berkata bilangan bayi perempuan melebihi bayi lelaki dengan 55,881 kelahiran berbanding bayi lelaki (55,692 kelahiran), dengan Selangor mencatatkan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran.

“Dijangkakan, berlaku peningkatan mendadak kelahiran bayi susulan kawalan pergerakan semasa Covid-19, bagaimanapun statistik menujukkan sebaliknya,” katanya dan menambah penurunan jumlah kelahiran ini selari dengan negara lain seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol.

Mohd Uzir dalam kenyataan berkata sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku kedua 2021, peningkatan sebanyak 10.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 40,241 kematian.

Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 6,818 kematian manakala kadar terendah direkodkan Putrajaya iaitu 53 kematian, katanya.

Mohd Uzir berkata sebanyak 3,898 kematian pada tempoh itu disebabkan oleh Covid-19, meningkat daripada 78 kematian pada suku kedua 2020.

Data juga menunjukkan kematian tertinggi disebabkan Covid-19 direkodkan oleh kumpulan umur 65 hingga 69 tahun, diikuti kelompok 70 hingga 74 tahun, dengan Selangor mencatatkan kematian tertinggi sebanyak 1,236 manakala rekod terendah dicatatkan Putrajaya dengan empat kematian sahaja disebabkan wabak itu, katanya.

Mohd Uzir berkata pandemik Covid-19 tidak memberi kesan signifikan kepada jangkaan hayat semasa kelahiran di Malaysia.

“Jangkaan hayat untuk bayi yang lahir pada 2021 dijangka hidup hingga 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding satu dekad yang lepas iaitu 74.3 tahun pada 2011.

Mohd Uzir berkata berdasarkan anggaran populasi semasa, jumlah populasi Malaysia pada suku kedua 2021 dianggarkan sebanyak 32.66 juta, peningkatan 0.2 peratus berbanding 32.58 juta pada tempoh sama 2020.

Jumlah populasi itu merangkumi 29.96 juta atau 91.8 peratus warganegara manakala 2.69 juta atau 8.2 peratus bukan warganegara, katanya.

Beliau berkata komposisi bukan warganegara menurun daripada 8.9 peratus pada suku kedua 2020 kepada 8.2 peratus pada tempoh sama tahun ini.

– BERNAMA