Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet serah surat letak jawatan, menteri sampaikan ucapan akhir

SHAH ALAM, 16 OGOS: Semua anggota Kabinet menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong setelah kerajaan Perikatan Nasional hilang sokongan majoriti.

Beberapa menteri menyampaikan ucapan terakhir selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas dan terakhir kabinetnya di Putrajaya pagi ini sebagai tanda berundur daripada jawatan perdana menteri.

“Jemaah menteri menyampaikan surat peletakan jawatan kami kepada Yang di-Pertuan Agong. Terima kasih atas peluang, sekali lagi, berkhidmat untuk negara. Semoga Allah merahmati Malaysia,” tulis Khairy Jamaluddin menerusi Instagram.

Selain menteri penyelaras vaksin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan peletakan jawatan tersebut sebagai “pengunduran atas tanggungjawab bersama bukan ‘rasa bersalah kolektif”.

“Terima kasih atas segalanya, yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat. Negara selamat semua terubat,” kata menteri hal-ehwal parlimen dan undang-undang di Twitter.

Sementara itu Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mengucapkan selamat tinggal di laman media sosial sama.

“Adalah suatu kebanggaan dan keistimewaan untuk berkhidmat kepada negara kita yang tercinta dan rakyatnya. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah selesai.

“Tawakal kepada Allah selepas bertekad seusai mesyuarat,” katanya di Facebook.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya secara rasmi melalui siaran langsung jam 3 petang. Dalam ucapan itu, beliau berharap kerajaan baharu dibentuk segera dan segala yang sudah dirancang tidak terjejas.