Categories
AGENDA NASIONAL

Kebakaran kilang kitar semula plastik di Pelabuhan Klang terkawal

SHAH ALAM, 12 OGOS: Sebuah kilang barangan kitar semula plastik di kawasan perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, dekat sini, yang mengalami kebakaran malam tadi, kini dalam keadaan terkawal.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata kebakaran yang berlaku sebelum pukul 9 malam itu, sudah dapat dikawal namun proses pemadaman sepenuhnya akan mengambil masa kerana melibatkan barangan plastik.

“Kami sudah kawal api daripada marak ke bangunan sebelah dan api semakin mengecil sekarang. Alhamdulillah buat masa ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan para pekerja di bangunan tersebut dipercayai berjaya menyelamatkan diri. Proses pemadaman kini giat dijalankan.

“Buat masa ini saya tidak boleh nak bagi maklumat lanjut lagi. Seramai 60 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi pemadamanan yang memusnahkan 90 peratus premis kilang itu,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Norazam berkata demikian bagi mengulas ringkas berhubung perkembangan situasi kebakaran di kawasan Pelabuhan Klang itu selepas tular di Facebook rakaman video 20 saat berhubung insiden berkenaan.

-BERNAMA