Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri junjung titah Sultan pastikan belia hilang kerja dibantu

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerajaan Negeri akan melipatgandakan program membantu belia seperti titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang memandang serius isu kehilangan pekerjaan golongan berkenaan.

EXCO pembangunan generasi muda berkata antara usaha Kerajaan Negeri adalah meneruskan program Selangor Job Fair 2021 selepas tempoh Pelan Pemulihan Negara dilonggarkan kelak.

“Kerajaan Negeri akan memastikan program ini mendapat penyertaan syarikat besar dan ternama untuk memberi peluang pekerjaan kemahiran tinggi kepada belia.

“Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan program seperti Selangor Kerjaya yang mensasarkan 3,000 pekerjaan,” kata Mohd Khairuddin Othman dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 pagi tadi yang mana Baginda menitik beratkan isu berkaitan belia.

Mohd Khairuddin menambah antara program lain yang diusahakan Kerajaan Negeri termasuklah Program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang memberi latihan dalam bidang kemahiran kepada belia.

“Selain itu Kerajaan Negeri juga menawarkan pinjaman mikro kredit Hijrah Selangor untuk belia memulakan perniagaan seperti Skim Zero to Hero, Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI), GO Digital (Skim Pembiayaan Digital) dan sebagainya,” katanya.

Pagi tadi, Sultan Selangor bertitah pelaksanaan kawalan pergerakan telah menyebabkan penutupan premis perniagaan yang menyebabkan rakyat kehilangan sumber pekerjaan dan pendapatan.

Baginda bertitah keadaan itu menyebabkan peningkatan kepada kadar pengangguran negara di mana pada 2020 pengangguran di Malaysia meningkat kepada 4.9 peratus berbanding 3.2 peratus pada 2019.

“Selepas sedikit pertumbuhan pada awal tahun ini, baru-baru ini kadar pengangguran telah meningkat semula kepada 4.8 peratus selepas 40,600 pekerja hilang pekerjaan pada bulan Jun 2021,” titah Baginda.