Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan wakil Umno tarik sokongan, Muhyiddin dakwa masih cukup majoriti

SHAH ALAM, 4 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa masih mempunyai sokongan majoriti walau lapan ahli parlimen Umno telah menarik diri daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam ucapan yang disiar secara langsung, beliau berkata persoalan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri “tidak berbangkit” setelah menerima sejumlah akuan sokongan.

Beliau menjelaskan perkara tersebut telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam majlis menghadap pada jam 11 pagi tadi.

“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan di Parlimen pada September bagi menentukan keabsahannya sebagai perdana menteri.

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai perdana menteri dan PN sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda telah memperkenankan cadangan saya ini,” katanya.

Semalam, Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN selain menggesa Muhyiddin bertanggungjawab atas “keingkaran kerajaan” beliau menurut titah Yang di-Pertuan Agong agar Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan dalam sidang Parlimen baru-baru ini.

Pada 29 Julai, Istana Negara mengeluarkan kenyataan Baginda menzahirkan rasa “amat dukacita” apabila ordinan tersebut telah dibatalkan oleh kabinet tanpa mendapat perkenan Baginda.

Semalam turut menyaksikan ahli parlimen parti berkenaan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli sebagai tanda sokongan terhadap keputusan Umno.