Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN ajak semua parti tolak Muhyiddin berunding bentuk kerajaan

SHAH ALAM: 13 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengajak semua ahli parlimen yang menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berunding membentuk kerajaan inklusif, adil dan progresif.

Selain memberi jaminan setiap parti dilayani secara adil, majlis presidennya turut mengajak wakil rakyat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

“Oleh itu, amatlah penting semua pihak dapat bersatu bawah sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap perdana menteri nanti.

“Ini supaya sebarang pengambilalihan kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju
dengan prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir baik dan institusi kehakiman yang bebas,” kata Pakatan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Menurut majlis presiden, negara memerlukan kerajaan yang stabil, berkesan serta dipimpin oleh seorang perdana menteri yang mempunyai keabsahan dan sokongan majoriti ahli parlimen.

“Walaupun setakat ini umum sedia maklum hanya 100 ahli parlimen menyokong Muhyiddin, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat berharap pemimpin dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan membantu negara membendung penularan wabak Covid-19 serta memacu ekonomi pascapandemik,” katanya.

Dalam kenyataan itu, PAKATAN juga tidak bersetuju pilihan raya umum diadakan ketika pandemik memuncak dan mengingatkan penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023.

Pada 9 Ogos, sekurang-kurangnya 14 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional, bukan hanya lapan seperti disebut dalam kenyataan perdana menteri minggu lepas.

Nama semua 14 wakil rakyat itu dinyatakan dalam warkah Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 4 Ogos, hari Muhyiddin membuat pengumuman khas.

Selain PAKATAN, parti lain yang turut menolak Muhyiddin adalah Parti Warisan Sabah (Warisan), Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan beberapa ahli parlimen bebas.