Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN gesa SPRM siasat siapa tawar habuan sokong Muhyiddin

SHAH ALAM, 8 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat mana-mana pihak yang menawar habuan bagi menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis Presiden menerusi kenyataan berkata SPRM perlu mengambil tindakan serius memandangkan kejadian serupa pernah berlaku kepada ahli parlimen pembangkang sebelum ini.

“Seperti umum sedia maklum Muhyiddin telah kehilangan majoriti dan masih enggan meletakkan jawatan berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, sesiapa yang cuba merasuah ahli parlimen pembangkang mahu pun yang telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin bukan sahaja melakukan satu kesalahan, tetapi membolehkan perdana menteri yang tiada keabsahan mahupun majoriti untuk kekal berkuasa sambil rakyat terus merana,” menurut kenyataan.

Kenyataan dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Tambahnya, jika SPRM gagal berbuat demikian, ia membuktikan dakwaan bahawa agensi kerajaan diperalatkan sebagai senjata politik demi survival politik pihak tertentu dan bukannya mendaulatkan undang-undang.

Majlis Presiden turut menegaskan Muhyiddin mesti meletak jawatan segera atau memanggil sidang khas Parlimen sekarang untuk membahas dan memutuskan usul undi percaya dalam masa terdekat.

“Jangan gunakan masa sehingga September untuk ‘membeli’ sokongan dengan pelbagai taktik yang tidak bermaruah dan menyalahi undang-undang,” katanya.

Pada 3 Ogos Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin susulan isu antara kerajaan pusat dengan Istana Negara.

Namun keesokan harinya Muhyiddin dalam ucapan yang disiar secara langsung mendakwa masih mempunyai sokongan majoriti walau lapan ahli parlimen Umno menarik diri daripada gabungan kerajaan PN.