Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tidak wajar tangguh sidang khas, segerakan usul undi percaya PM

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan tindakan Perdana Menteri menetapkan pembentangan usul undi tidak percaya terhadapnya pada September depan sebagai amat tidak wajar.

Majlis Presiden menerusi kenyataan berkata isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan selagi sidang khas Parlimen ditangguh.

“Isu sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti diputuskan sekarang.

“Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun yang lalu betapa pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat,” menurut kenyataan diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Tambahnya, kerajaaan wajib menyelesaikan kemelut politik terkini kerana rakyat terus tertekan akibat masalah ekonomi dan pandemik selain jumlah kes harian dan kematian meningkat setiap hari.

“Majlis Presiden PAKATAN mengulangi pendirian kami serta semua parti dalam blok pembangkang termasuk ahli parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin iaitu mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini.”

Semalam, Muhyiddin mendakwa masih mempunyai sokongan majoriti walau lapan ahli parlimen Umno telah menarik diri daripada gabungan kerajaan PN.

Beliau juga berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan di Parlimen pada September bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Melalui cara ini, katanya, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan PN kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.