Categories
AGENDA NASIONAL

Pujuk lebih sejam, lelaki paling ramai takut suntikan

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Memujuk individu takut jarum suntikan untuk bertenang antara cabaran dihadapi petugas Program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place di Bukit Jalil di sini.

Menceritakan pengalamannya, jururawat Nur Anis Akila Mohd Faizal mendedahkan beliau dan petugas lain pernah memujuk seorang lelaki sehingga sejam kerana terlalu takut dengan jarum.

“Ada yang takut kerana menjangka jarum suntikan terlalu besar kerana mereka melihat di kaca televisyen jadi kita terangkan nampak besar kerana kamera ‘zoom’. Sebahagian besar yang takut jarum ini adalah kaum lelaki.

Petugas kesihatan, Nur Anis Akila Mohd Faizal bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Seri Serdang di Aurora Place Bukit Jalil pada 9 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Tiba-tiba tak nak cucuk, belum cucuk ada yang tiba-tiba nak nak pengsan…yang dah sampai kemudian nak balik pun ada jadi kita pujuk dia dulu. Bagi mereka yang betul-betul tak nak pada hari tu kita tukarkan janji temu pada hari yang lain,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Nur Anis yang diberi tanggungjawab memberi suntikan vaksin kepada lebih 400 individu sehari itu juga menasihatkan individu yang hadir ke PPV supaya memakai pakaian yang bersesuaian serta longgar.

“Ada yang pakai ketat-ketat susah nak tarik baju jadi ia akan mengambil sedikit masa. Orang tempatan sama, warga asing pun sama. Kalau warga asing yang nak tanggal baju pun ada sebab mereka tidak faham,” katanya.

PPV Aurora Place adalah antara lima PPV mega yang diusahakan Kerajaan Selangor selain Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Pada Jun lalu, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.