Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor terima pelaburan lebih RM26 juta sektor alat perubatan

SHAH ALAM, 27 OGOS:  Selangor menerima pelaburan sebanyak RM26.37 juta menerusi dua projek perkilangan bagi sektor pembuatan peralatan perubatan antara Januari hingga Mac tahun ini.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata sektor tersebut antara industri teras yang diberi keutamaan untuk menjana pendapatan negeri.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, sebanyak dua projek perkilangan bagi mengeluarakan produk Scientific & Measuring Equipment diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM 26,379,000.

“Sebanyak RM 14,069,000 adalah daripada pelaburan tempatan manakala sebanyak RM 12,310,000 daripada pelaburan asing,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab perkara dibangkitkan wakil rakyat Banting Lau Weng San yang mengesyorkan Kerajaan Negeri merangka strategi bagi menarik pelaburan dalam industri pembuatan peralatan perubatan.

Chang Khim berkata Invest Selangor turut giat mengadakan promosi pelaburan untuk barangan peralatan perubatan yang merupakan antara lima kluster perindustrian teras negeri.

“Invest Selangor akan menganjurkan Selangor International EXPO (Medic) (SIE Medic 2021) yang menjadi salah satu acara dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 18 hingga 21 November 2021 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur.

“SIE Medic 2021 menghimpunkan pemain industri bekalan peralatan perubatan dan diagnostik, penjagaan kesihatan, farmasi serta hospital yang mempamerkan perkhidmatan kesihatan terkini,” katanya.

Jelasnya, serentak dengan pameran itu, Kerajaan Negeri mengadakan Persidangan Perubatan Antarabangsa Selangor dengan tiga tema utama iaitu vaksinasi, penjagaan warga emas dan kesihatan digital.