Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tambah katil hospital antara usaha JKNS tangani kenaikan kes Covid-19

SHAH ALAM, 6 OGOS: Penambahan kapasiti katil hospital merupakan antara usaha Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam menangani kenaikan kes wabak.

Pengarah Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata ia sebagai persediaan empat hospital yang dijadikan pusat rawatan Covid-19 sepenuhnya menerima lebih ramai pesakit yang memerlukan rawatan rapi.

“Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti daripada 1,311 kepada 1,602 katil meliputi wad dan juga unit rawatan rapi (ICU), manakala Hospital Ampang mempunyai 640 katil untuk pesakit Covid-19.

“Hospital Selayang mempunyai 900 katil diperuntukkan bagi pesakit Covid-19 selain 658 katil Hospital Serdang diperuntukkan bagi tujuan sama,” katanya pada sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Selain itu, katil Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Hospital Banting serta Hospital Kajang turut ditambah kepada 10 hingga 20 peratus.

Dr Sha’ri menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang yang awalnya hanya menerima pesakit kategori satu, dua dan tiga kini turut menerima kategori empat.

“Perkhidmatan ambulan untuk mengambil pesakit ke hospital juga ditambah melalui ambulan standby sewaan ambulan swasta.

“Semua hospital diberi tambahan silinder oksigen yang mana 3,000 tangka oksigen dibekalkan ke PKRC MAEPS,” katanya.

Jelasnya, terdapat 27 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ditubuhkan di negeri ini yang mana setiap daerah mampunyai sekurang-kurangnya satu pusat yang dilengkapi peralatan untuk menangani kes kecemasan.