Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tidak harap pujian, petugas kesihatan minta jaga SOP, ambil vaksin

SHAH ALAM, 18 OGOS: Masyarakat dinasihat menjaga kesihatan, kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan mengambil vaksin jika ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas perubatan.

Pengerusi MedTweetMY Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin berkata petugas kesihatan banyak berkorban masa merawat pesakit Covid-19 hingga mengalami kelesuan fizikal dan mental.

“Kami tidak mengharapkan pujian tetapi cukuplah masyarakat menjaga kesihatan diri dan mencegah daripada masuk hospital kerana ini dapat mengurangkan bebanan petugas barisan hadapan.

“Secara tidak langsung petugas hadapan mempunyai masa untuk diri sendiri dan bersama keluarga,” katanya pada program Bual Bicara: Perang dan Merdeka Era Pandemik yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Dr Khairul Hafidz berharap kelonggaran SOP yang diberikan berkait sektor ekonomi dipertimbang semula bagi mengelak kenaikan mendadak kes.

Beliau berkata pandangan sama turut dinyatakan pertubuhan kesihatan berikutan negara belum mencapai fasa mitigasi selain bimbang akan mengganggu proses suntikan vaksin.

“Saya berharap kerajaan baharu nanti dapat pertimbang semula kelonggaran yang diberikan kerana apa yang dikatakan ini berdasarkan data dan fakta,” katanya lagi.

Bermula kelmarin, kerajaan membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Aktiviti ekonomi itu seperti berikut:

  • Kedai cuci kereta
  • Kedai elektrik dan elektronik
  • Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
  • Kedai perabot
  • Kedai peralatan sukan
  • Kedai aksesori kereta
  • Pusat pengedaran dan jualan kereta
  • Pasar pagi dan pasar tani
  • Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
  • Kedai barang kemas
  • Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan asas)