Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Vaksin, saringan senjata ampuh menentang Covid-19

SHAH ALAM, 13 OGOS: Hujan lebat tidak menghalang seorang kerani menunggang motosikal sejauh 10 kilometer untuk menyertai saringan percuma hujung Mei lalu. Mohd Fadzil Abdul Rani, 48, sampai di Dewan Serbaguna MBSA U5, Shah Alam dalam keadaan basah kuyup.

Walau bukan kontak rapat, atas nasihat majikan, beliau menggagahkan diri mengambil peluang atas kemudahan Saringan Komuniti setelah rakan sekerja didapati positif Covid-19.

Ketika itu, Kerajaan Negeri menggerakkan saringan besar-besaran di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah kes meningkat semula pada awal bulan tersebut sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sekali lagi.

Hasil saringan selama sebulan yang berakhir 10 Jun, seramai 3,342 orang daripada 97,565 peserta program fasa kedua ini didapati kemungkinan positif melalui ujian calitan RTK-Ag.

Jumlah ini tidak termasuk lebih 26,000 orang yang menyertai fasa pertama sejak ia diperkenalkan pada 11 April 2020, kira-kira sebulan selepas PKP pertama dikuatkuasakan.

Pakar puji

Beberapa pakar kesihatan memuji langkah Selangor berbuat demikian dan menggesa kerajaan persekutuan dan negeri lain mencontohinya.

“Dengan adanya saringan besar-besaran ini, mereka yang positif dapat diasingkan dan diberikan rawatan. Pengasingan adalah perlu bagi mengelakkan jangkitan lain dan juga menghentikan rantaian jangkitan.

Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti secara percuma di Dewan Serbaguna MPAJ, Ampang pada 28 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sekiranya kerajaan negeri lain mencontohi Kerajaan Selangor, saya yakin bahawa langkah-langkah kawalan pandemik dapat dilakukan dengan berkesan,” kata Pakar Kesihatan Awam Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani kepada Utusan Malaysia pada 21 Mei.

Tindakan Kerajaan Negeri mengadakan saringan besar-besaran adalah landasan tepat bagi mengesan penularan virus dalam kalangan masyarakat, kata presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia sehari sebelumnya.

“Bayangkan jika ramai yang datang ke saringan didapati positif namun tidak bergejala. Kita tidak sedar mereka dijangkiti dan boleh merebak kepada lebih ramai lagi,” kata Profesor Dr Zamberi Sekawi kepada The Star.

Kaedah FTTIS

Selain program Vaksin Selangor (Selvax) yang dilancar hujung Jun lalu, Saringan Komuniti sudah menjadi senjata ampuh menentang wabak seperti dicadang Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) sejak ia ditubuh pada Mac 2020.

Idea pasukan petugas ini diambil daripada syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan langkah FTTIS (cari, uji, jejak, asing dan sokong) sebagai cara mengekang wabak sebelum ia menjejaskan khidmat kesihatan.

Malah, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut mencadangkan kerajaan persekutuan membantu Selangor menjayakan kempen saringan besar-besaran setelah penularan sporadik begitu meluas sehingga hampir 70 peratus.

Penularan sporadik

Dr Subramaniam Muniandy memberitahu portal Free Malaysia Today pada 24 Jun bahawa beliau bimbang dengan jumlah kes yang makin meningkat di Lembah Klang termasuk ramai individu tanpa gejala.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 21 Jun bahawa 69 peratus daripada 578,105 orang yang dijangkiti Covid-19 antara 1 Januari hingga 19 Jun berpunca daripada mereka yang tidak dikaitkan dengan kluster.

Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebanyak 398,846 kes di seluruh negara berpunca jangkitan sporadik dengan pecahan tiga negeri tertinggi: Selangor 151,725 kes (atau 38.0 peratus), Kuala Lumpur 44,517 kes (11.2 peratus) dan Sarawak 40,889 kes (10.3 peratus).

“Kes-kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada. Kes-kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, ataupun daripada saringan kes bergejala.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) dengan betul,” kata Dr Noor Hisham.

Namun jangkitan di luar kluster itu tetap meningkat walaupun kerajaan persekutuan mengetatkan PKP beberapa kali termasuk memperkenalkan PKP Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur.

Titah Sultan

Sejajar dengan usaha vaksinasi kerajaan persekutuan, Selangor menggerakkan pula langkah memberi vaksin kepada 1.25 juta penduduk sebagai pelengkap kempen Putrajaya. Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi menjayakan program Vaksin Selangor.

Susulan itu, Kerajaan Negeri melancarkan Selvax Industri untuk diberikan kepada pekerja, sementara Selvax Komuniti pula untuk warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan individu berpendapatan rendah.

Muhammad Aiman Abdullah, 28, bersama Nor Hafizah Mohd Suhaimi, 34, bergambar selepas selesai menerima suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Seri Serdang di Aurora Place Bukit Jalil pada 9 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tidak seperti beberapa negeri lain, program vaksin kerajaan persekutuan bermula agak perlahan pada Mei sehingga Sultan Selangor bertitah agar suntikan diberikan sesuai dengan jumlah penduduk dan kedudukan negeri ini sebagai pusat industri utama negara.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan “tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini (awal Jun) tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di Selangor yang berjumlah 6.5 juta.”

Baginda juga mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). “Justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini,” titah Baginda melalui kenyataan istana pada 8 Jun.

Sekali lagi pada 13 Julai, sebagai Raja Pemerintah yang sangat prihatin, Sultan Selangor menzahirkan penegasan agar pemberian vaksin kepada pekerja harus disegerakan memandangkan terdapat banyak kilang dan perindustrian di negeri ini.

“Ini sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok,” titah Baginda melalui kenyataan istana.

Rakyat gembira

Akhirnya, melalui kempen besar-besaran pentadbiran Putrajaya dan Shah Alam, kesedaran awam untuk mengambil vaksin meningkat mendadak. Pelbagai gelagat warga Selangor boleh dilihat di pusat pemberian vaksin (PPV) Selvax.

Muhammad Harizal Hafeez Hassanal, 25, hadir di PPV Tropicana Gardens Mall dengan berkostum Batman bersama rakannya Amiruddin Danial Abdul Mutalib, 22, yang berpakaian seperti musuh adiwira itu Joker pada 7 Ogos.

Mohd Sahir Mohd Mokji membawa tali pinggang juara WWE sebagai pembakar semangat ketika mendapat suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Julai 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Sementara Mohd Sahir Mohd Mokji, 37, mencuri tumpuan ramai di PPV sama di Petaling Jaya apabila membawa tali pinggang kejuaraan gusti WWE ketika mendapat suntikan pada 31 Julai.

Gelagat mereka ini tanda kegembiraan penduduk menerima vaksin, ikhtiar utama kita semua melawan Covid-19 selain menyertai Saringan Komuniti.

Muhammad Aiman Abdullah, 28, bersama tunangnya Nor Hafizah Mohd Suhaimi, 34, pula menerima suntikan di PPV Selvax Aurora Place, Kuala Lumpur pada 9 Ogos sebagai persiapan sebelum berkahwin.

Pada 1 Ogos, dengan penuh semangat seorang wanita warga emas di Ampang sanggup menolak kerusi roda suaminya sejauh kira-kira dua kilometer di tengah-tengah hujan renyai untuk mendapat vaksin di Dewan MPAJ Pandan Indah.

Pasangan ini tentunya tidak maklum bahawa Kerajaan Negeri sudah menyediakan rebat RM20 tambang Grab bagi keselesaan warga emas berulang-alik ke PPV.

Langkau sasaran

Pada tanggal tersebut, seramai 8,239 orang sudah menikmati bantuan tambang percuma itu daripada 11,223 pemohon yang mengambil khidmat e-panggilan untuk ke pusat vaksin.

Berkat usaha semua pihak termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Operasi Lonjakan Kapasiti, Selangor kini berjaya meningkatkan keupayaan vaksinasi dengan pantas.

Legimin, 53, membawa isterinya Maimunah, 53, menggunakan kerusi roda semasa hadir mendapatkan suntikan pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sijangkang di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Taman Banting Baru pada 8 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Negeri ini berjaya melepasi sasaran suntikan 135,000 dos sehari sebelum bulan Julai berakhir walau hanya antara 20,000 hingga 40,000 dos sehari diberikan sepanjang Jun.

Sehingga 11 Ogos, lebih 2.01 juta penduduk Selangor atau 42.4 peratus yang dijadual menerima vaksin sudah mendapat dua dos.

Sementara 3.64 juta orang atau 76.7 peratus merima satu dos suntikan. Sebanyak 266,069 dos lagi diberikan percuma bawah program Selvax anjuran Kerajaan Negeri.

Dengan rekod luar biasa ini, tidak hairanlah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari percaya sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk akan menerima suntikan selewat-lewatnya September.

Jika tiada aral melintang, Selangor boleh memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.