Categories
PBT SELANGOR

120 penjaja di Taman Puncak Jalil terima lesen sementara

SUBANG JAYA, 7 SEPT: Sebanyak 120 lesen sementara yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diberikan kepada penjaja di Taman Puncak Jalil di sini, hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata angka itu adalah tinggi jika dibandingkan hanya enam peniaga sahaja yang mempunyai lesen sah di kawasan berkenaan sebelum ini.

“Sebelum ini hanya enam daripada 80 pemilik gerai di kawasan ini mempunyai lesen yang didaftarkan dengan MBSJ.

“Bagaimanapun MBSJ memutuskan untuk pertimbang permohonan penjaja terutama dalam situasi ramai terkesan akibat Covid-19,” katanya ditemui pemberita selepas menyerahkan 120 lesen sementara kepada penjaja.

Pada 18 Januari, MBSJ mengeluarkan 850 permit perniagaan sementara bagi membantu golongan terkesan akibat Covid-19.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata langkah tersebut untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana semula pendapatan.