Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

485 guru Kafa, pegawai masjid, jurunikah divaksin 22 September

SHAH ALAM, 19 SEPT: Seramai 485 guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah akan menerima suntikan vaksin pada Rabu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad berkata program vaksinasi khas tersebut diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Negeri.

“Kita arahkan semua mereka hadir dan paling penting Jais hendak menyelesaikan masalah kerana perkara ini melibatkan masyarakat umum.

“Mereka yang tidak mahu divaksin pasti mempunyai alasan tersendiri, namun jika tidak diterima mereka berdepan tindakan susulan sehinggalah langkah terakhir dikenakan tatatertib,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Shahzihan memaklumkan Jais memberi peluang sewajarnya kepada semua individu itu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Jais sentiasa cuba untuk mengatur langkah-langkah bersesuaian dan bukan bersifat kejam namun akan memberi masa dan sedia menerima penjelasan serta jika didapati tidak munasabah akan ambil tindakan,” katanya

Pada 2 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedar akan risiko jangkitan dan vaksin dapat mengelakkan kesan lebih buruk termasuk kematian.