Categories
AGENDA NASIONAL

76.8 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Sebanyak 76.8 peratus atau 17,973,545 individu daripada populasi dewasa di Malaysia sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan 92.7 peratus atau 21,783,871 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin itu termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 202,298 dos vaksin termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos diberikan semalam, menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 39,685,414 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

— BERNAMA