Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Sepang, Putrajaya pulih lebih 50 peratus

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lebih 50 peratus bekalan air di Sepang dan Putrajaya yang terjejas akibat pencemaran bau Sungai Semenyih kembali pulih setakat jam 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 80.4 peratus pemulihan di Sepang dan Putrajaya (56.5 peratus).

Manakala pemulihan bekalan di Kuala Langat masih di paras 25 peratus, sementara Hulu Langat dan Petaling belum pulih sepenuhnya.

“Air Selangor ingin menyarankan agar para pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor juga berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” menurut kenyataan di Facebook.

Semalam, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang http://www.airselangor.com.