Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air pulih, mulai diagih hari ini mengikut lokasi pengguna

SHAH ALAM, 1 SEPT: Bekalan air bersih ke kawasan terjejas susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mula disalurkan secara berperingkat pada jam 7 pagi tadi.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan memaklumkan ujian kualiti air dijalankan mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara untuk diagih kepada pengguna.

“Bekalan air bersih dan selamat telah disalurkan jam 7 pagi tadi secara berperingkat kepada pengguna di semua kawasan terjejas dengan henti tugas LRA Sungai Semenyih berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih,” kata Air Selangor.

Syarikat perkhidmatan air itu berkata usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air di 463 kawasan terjejas sedang dijalankan dan dijangka pulih pada jam 12 tengah malam pada Jumaat.

Kawasan yang mengalami gangguan air adalah sebanyak 172 di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Air Selangor telah menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan melalui 94 lori tangki kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi tadi

Senarai lengkap kawasan terjejas dimuatkan di Facebook Air Selangor di pautan berikut: https://www.facebook.com/airselangor/posts/4688849484478930.