Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh guna sijil vaksinasi SELangkah, usaha negeri diiktiraf

SHAH ALAM, 10 SEPT: Keputusan kerajaan persekutuan membenarkan penggunaan sijil vaksinasi di aplikasi SELangkah bagi penerima dibawah Program Vaksinasi Selangor (Selvax) merupakan pengiktirafan terhadap inisiatif  Kerajaan Negeri.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata keputusan itu melengkapi usaha kerajaan persekutuan menangani pandemik Covid-19.

“Oleh itu, rakyat Selangor yang masih belum menerima sijil vaksinasi digital MySejahtera kini boleh menggunakan sijil vaksinasi di dalam aplikasi SELangkah sebagai dokumen pengesahan bagi keperluan aktiviti harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu, Kerajaan Selangor memohon Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membenarkan sijil SELangkah digunakan sebagai dokumen pengesahan buat sementara waktu.

Dr Siti Mariah berkata SELangkah menghantar 159,919 rekod peserta Selvax kepada MySejahtera namun 3,632 individu masih belum menerima sijil digital.

Susulan itu, menteri kesihatan semalam berkata kerajaan persekutuan membenarkan individu yang lengkap menerima suntikan pelalian di bawah program Selvax menggunakan sijil SELangkah.

Khairy Jamaluddin berkata sijil digital itu boleh digunakan sebagai dokumen pengesahan sementara jika belum menerima sijil di aplikasi MySejahtera.