Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bukit Malawati, Sky Mirror antara lokasi popular bakal dinaik taraf

SHAH ALAM, 5 SEPT: Projek menaik taraf beberapa pusat pelancongan sekitar Kuala Selangor tersedia dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati, kata yang dipertuanya.

Rahilah Rahmat berkata cadangan penambahbaikan membabitkan Bukit Malawati, Sungai Selangor, Kelip-Kelip, Taman Alam dan Sky Mirror, hasil perbincangan bersama penduduk setempat.

“Kawasan tersebut merupakan lokasi tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara. Bagi menaik taraf kawasan itu, langkah pertama dibuat dengan menyediakan RKK Bandar Malawati Kuala Selangor.

“Bagaimanapun, jumlah peruntukan yang akan dibelanjakan bergantung kepada kemampuan kewangan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS),” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan Dataran Malawati di Pekan Lama Kuala Selangor dengan reka bentuk universal selesai dinaik taraf bawah rancangan berkenaan untuk kegunaan orang awam khususnya pelancong luar.

Rahilah berkata Unit Pelancongan MPKS juga giat mempromosi produk pelancongan semula jadi melalui media sosial bagi menarik kedatangan orang ramai sebaik pandemik pulih.

Dalam kenyataan sama, beliau menjangka sebanyak 21 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di persimpangan jalan utama dan lokasi tumpuan awam, awal tahun depan.

“Tujuan pemasangan untuk mengesan arus trafik ketika waktu puncak dan data tersebut dapat menganalisis kecekapan tempoh masa lampu isyarat di persimpangan jalan yang terlibat,” katanya.