Categories
AGENDA NASIONAL

Cari individu belum divaksin, wakil rakyat disaran bantu program Vaksin Selangor

KLANG,12 SEPT: Semua wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang disaran memberi kerjasama dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerjasama antara wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik penting bagi menjayakan usaha ini kerana maklumat diterima masih ramai belum menerima vaksin.

“Penting untuk wakil rakyat terlibat secara langsung dengan bantu cari siapa belum divaksin, kena tahu berapa ramai hendak divaksin kerana kita tidak mahu membawa bekalan berlebihan.

“Kita mengeluarkan jadual untuk tempoh seminggu dan mengalu-alukan wakil-wakil rakyat pembangkang untuk menyertai Selvax bergerak,” katanya ditemui pada program Selvax bergerak peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Kompleks Pasar Besar Meru.

Siti Mariah memaklumkan penganjuran program Selvax bergerak tidak terhad kepada wakil rakyat sahaja sebaliknya turut terbuka kepada ketua masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli majlis.

“Kalau ketua masyarakat atau NGO nak anjur, mereka perlu pastikan aspek pengurusan berjalan lancar terutama menyediakan sukarelawan manakala di pihak Kerajaan Negeri, kita sediakan vaksin percuma.

“Mereka perlu menyediakan sekurang-kurangnya 250 nama, selepas itu kita akan membawa klinik van bergerak. Jika berminat mereka menghubungi Mirzan menerusi talian 018-4645155,” katanya.

Penganjuran program Selvax bergerak bermula hari ini bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir menerima suntikan pelalian.

Program dimulakan di DUN Meru diikuti Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.