Categories
ADN SELANGOR

DUN Bukit Melawati peruntuk RM2,000 baik pulih gerai anak muda

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak RM2,000 dibelanjakan untuk membaik pulih bumbung gerai milik anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif itu diharap memberi keselesaan kepada tiga peniaga di Bandar Baru Kuala Selangor yang hanya menggunakan kain kanvas di gerai itu terutama ketika musim hujan.

“Sebelum ini mereka hanya memasang kanvas bagi menggantikan bumbung, adakalanya bahan itu selalu terkoyak dan terbang jika berlaku angin kuat atau hujan lebat.

“Kasihan dengan nasib menimpa anak muda ini dan kita mengambil inisiatif untuk menaja kos baik pulih bumbung gerai tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Juwairiya berkata, seramai tiga peniaga terdiri daripada anak muda menjalankan aktiviti perniagaan dengan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

“Saya harap selepas ini mereka dapat berniaga dengan lebih selamat dan selesa walaupun ketika cuaca hujan. Pada masa sama, semoga lebih ramai belia menceburi bidang perniagaan pada masa akan datang,” katanya.