Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Galeri Shah Alam anjur pameran secara maya, himpun karya terbaik

SHAH ALAM, 12 SEPT: Galeri Shah Alam menganjurkan Pameran Maya Insan+tif 1.0 bermula awal bulan lalu hingga penghujung Oktober sempena sambutan ke-30 tahun penubuhan galeri itu.

Pengarahnya Alina Abdullah berkata pameran juga sebagai meraikan penerima Anugerah Insentif Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) sepanjang 1991 hingga 2020.

“Pameran virtual ni mengumpulkan hasil karya terbaik daripada 18 PTGSA dengan pelbagai tema malah turut ditawarkan kepada peminat seni untuk membeli.

“Dalam masa sama kita juga tampilkan karya terbaharu PTGSA yang terlibat supaya peminat boleh melihat perkembangan hasil seni mereka mengikut peredaran masa,” katanya pada perasmian pameran secara dalam talian.

Majlis dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron.

Antara pengkarya terlibat Azman Hilmi, Anuar Dan, Rosli Zakaria, Khairul Azmir Shoib, Fauzul Yusry, Zaharuddin Sarbaini dan Mohamad Hassan.

Sementara itu, Alina berkata para karyawan atau perupa perlu mencari idea segar, teknik serta kaedah baharu seiring perkembangan semasa bagi menghasilkan karya terbaik.

“Ini juga melihatkan kematangan diri mereka. Semoga pameran seperti ini boleh diadakan lebih banyak untuk menjejak perkembangan pengkarya,” katanya.

Ikuti pameran maya tersebut di sini.