Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Galeri Shah Alam dibuka kepada orang awam, perlu buat janji temu

SHAH ALAM, 27 SEPT: Galeri Shah Alam di Seksyen 14 di sini sudah dibuka kepada orang awam mulai 10 September lalu namun terhad kepada lawatan janji temu.

Pengarahnya Alina Abdullah berkata pihaknya menetapkan hanya 15 orang boleh berada di galeri berkenaan pada satu-satu masa susulan keperluan pematuhan tatacara operasi piawai.

“Kita akan melihat pengumuman pihak berkuasa bagi meningkatkan jumlah pengunjung dan membenarkan lawatan tanpa janji temu.

“Mereka yang ingin menetapkan tarikh lawatan boleh menghubungi Galeri Shah Alam di talian 03-5510 5344 atau e-mel [email protected],” katanya.

Menurut Alina pada masa ini galeri berkenaan sedang mempamerkan karya pertandingan seni visual anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.

Jelasnya, Pameran Maya Insan+tif 1.0 yang dianjurkan sempena sambutan ke-30 tahun penubuhan galeri juga masih berlangsung hingga penghujung Oktober.

Alina berkata penganjuran bengkel secara bersemuka yang menjadi tumpuan ramai terutama pada hujung minggu berkemungkinan diperkenal semula pada tahun depan.

“Buat sementara waktu kita teruskan bengkel secara dalam talian,” katanya.