Categories
AGENDA NASIONAL

Hargai jasa, bekas pelari pecut para ditawar kerja sesuai

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari yang bekerja di stesen minyak akan ditawarkan pekerjaan bersesuaian, kata setiausaha politik Dato’ Menteri Besar.

Juwairiya Zulkifli berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneliti keadaan Mohd Raduan terlebih dahulu supaya tidak mendatangkan kemudataran kepada bekas pelari pecut itu.

“Sekarang pendapatan Raduan kurang untuk dia bantu diri dan keluarga, dalam pertemuan tadi dia ada luahkan pasal isu pekerjaan.

“Menerusi kerjasama dengan Perkeso, kita cuba bantu dapatkan kerja sesuai sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya yang pernah mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat dan menyerah bantuan kepada Mohd Raduan bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor dan wakil Kementerian Belia dan Sukan Selangor.

Terdahulu kisah atlet berusia 39 tahun yang kini bekerja di stesen minyak di Kuala Selangor tular di media sosial.

Mohd Raduan yang juga bekas atlet negeri ini mewakili Malaysia di temasya Sukan Para ASEAN Filipina pada 2005, Korat (2007), Solo (2011), Naypyitaw (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).

Beliau juga beraksi pada Sukan Para Asia Guangzhou (2010) dan Incheon (2014) selain Paralimpik Beijing (2008).

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata Kerajaan Selangor akan membantu bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara sebagai menghargai jasa mereka.

“Selangor merupakan kerajaan prihatin untuk semua golongan rakyat, justeru individu berdepan kesusahan akan dibantu,” katanya.