Categories
AGENDA NASIONAL

Hutan Simpan Kuala Langat Utara kawasan berisiko tinggi, kerap terbakar

SHAH ALAM, 1 SEPT: Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dikelaskan sebagai kawasan berisiko tinggi dan kerap terbakar oleh Jabatan Perhutanan Selangor.

Pengarah Perhutanan Negeri Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata hutan itu mengalami kemerosotan kualiti akibat beberapa kali terbakar pada 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.

“HSKLU merupakan hutan yang terpisah daripada kompleks hutan utama dan mengalami tekanan pembangunan tanah tepu bina di sekelilingnya seperti Lebuhraya ELITE, Bandar Saujana Putra dan Gamuda Cove.

“HSKLU juga diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko tinggi untuk terbakar oleh jabatan perhutanan negeri pada 2016,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 20 Februari tahun lepas, Dato’ Menteri Besar berkata kira-kira 40 peratus HSKLU rosak disebabkan kebakaran dan pencerobohan termasuk tiada elemen hutan dara.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dua lokasi hutan ganti dicadangkan di Sungai Panjang, Sabak Bernam manakala dua lagi di Kuala Selangor dan Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu.

Hutan simpan yang dicadangkan bercantum dengan Hutan Simpan Raja Muda Musa iaitu kawasan hutan paya gambut terbesar di Semenanjung Malaysia.