Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa lega anak divaksin, kurang risiko jangkitan luar rumah

KUALA SELANGOR, 30 SEPT: Seorang ibu mengakui gembira selepas dimaklumkan pihak sekolah anaknya menerima suntikan vaksin.

Sapinah Hanafi,51.

Sapinah Hanafi, 51 berkata beliau bimbang dengan keselamatan Muhammad Syafiq Sabri, 13, kerana terlalu aktif dan mungkin memberi risiko kepadanya apabila berada di luar rumah.

“Dia hiperaktif, lasak dan suka berkawan, itu saya risau jadi apabila cikgu cakap dia dapat vaksin, saya gembira kerana Covid-19 boleh membawa kemudaratan,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini pada program suntikan vaksin remaja dan murid berkeperluan khas di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

Mohd Noor Yaacob, 43, memaklumkan anaknya Muhammad Danish Haiqal, 15, teruja dan tidak sabar sebaik dimaklum menerima vaksin.

Mohd Noor Yaacob, 43.

“Saya beritahu semalam (kelmarin) terus dia gembira, saya pun lega sebab dia beri kerjasama untuk menerima suntikan.

“Sebagai bapa, saya bersyukur kerana secara tidak langsung memudahkan kami sekeluarga dan berasa lebih yakin apabila berada di luar rumah,” katanya.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.