Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jangan lepas peluang mohon bantuan pinjaman pelajaran Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 28 SEPT: Warga Selangor diminta supaya tidak melepaskan peluang memohon bantuan pembiayaan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah yang akan ditutup 30 September ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan Yayasan Selangor itu ditawarkan kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta milik Kerajaan Selangor.

“(Pinjaman) pelajaran boleh ubah ini menawarkan pengecualian bayaran balik 50 peratus atau 100 peratus bagi mana-mana anak Selangor yang dapat menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang,” tulisnya di Twitter.

Sebelum ini, Yayasan Selangor memaklumkan permohonan terbuka kepada mereka yang sedang belajar atau menerima tawaran pengajian sepenuh masa peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.

Pembiayaan dikhususkan hanya kepada pemohon warganegara Malaysia dan rakyat Selangor yang memenuhi syarat ditetapkan.

Permohonan bantuan yang dibuka sejak 1 September boleh dibuat melalui laman sesawang www.yayasanselangor.org.my.

Pada 29 April, Yayasan Selangor menjalin kerjasama dengan 18 agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksana pelbagai program pendidikan selaras wawasan negeri pintar 2025.