Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kempen Mesti Beli: PKNS berjaya jual 68 unit hartanah, raih RM37.8 juta

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya melepasi sasaran jualan sebanyak 158 peratus selepas berjaya menjual 68 unit hartanah bernilai RM37.8 juta melalui kempen PKNS PLUS Mesti Beli yang diadakan pada 28 dan 29 Ogos lalu.

Menurut agensi pembangunan peringkat negeri itu, antara projek yang mendapat sambutan paling menggalakkan ialah Puteri Elaisha di Kota Puteri, Sijangkang serta pangsapuri Selangorku di Cyberjaya.

Ketua Pegawai Operasi PKNS Suhaimi Kasdon berkata berdasarkan kepada trend pembelian pelanggan sepanjang tahun ini, PKNS meramalkan permintaan untuk produk hartanah miliknya akan terus meningkat.

“Kejayaan kempen ini adalah hasil rancangan taktikal yang rapi daripada unit jualan PKNS di samping pelbagai tawaran dan insentif hebat yang diberikan kepada semua pembeli hartanah PKNS.

“Strategi jualan dan pemasaran PKNS dalam menawarkan produk yang mesra pengguna selaras dengan keperluan lokasi serta jualan pada titik harga yang tepat juga terbukti berkesan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Suhaimi berkata antara faktor lain yang mendorong kenaikan penjualan hartanah PKNS pada kempen berkenaan adalah Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah, pengecualian duti setem dan diskaun sehingga 20 peratus.

PKNS PLUS Mesti Beli merupakan kempen jualan hartanah untuk orang awam memiliki hartanah PKNS dengan rebat dan diskaun eksklusif khas untuk pembeli pada waktu promosi.

Selari dengan arus kemodenan dalam usaha memastikan program ini dekat di hati pembeli, PKNS berkata pautan Online Experience menjadi salah satu medium terbaru bagi pemasaran Hartanah PKNS, yang mana ia memberi kemudahan kepada pelanggan untuk mengakses maklumat mengenai Hartanah PKNS.

Kempen bagi program ini dijalankan secara hibrid iaitu digital dan konvensional, manakala penjualan secara atas talian dibuat melalui talian PKNS X Line dan media sosial PKNS Property.

– BERNAMA