Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KSSB sumbang RM10.4 juta, sokong negeri bantu rakyat susah

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM10.4 juta daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi menyokong usaha membantu rakyat memerlukan.

Ia meliputi sumbangan tahunan syarikat bernilai RM6 juta, tabung warisan (RM400,660.26), Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin (RM10,000) dan Pakej Kita Selangor 2.0 (RM4 juta).

Syarikat perlombongan dan pengurusan sumber mineral milik Kerajaan Negeri itu turut menyerahkan RM20,000 kepada Tabung Prihatin Tahfiz Selangor.

Sumbangan disampaikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KSSB Abdul Rahman Ishak kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di bangunan pentadbiran negeri hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata bantuan tersebut sebahagian tanggungjawab korporat syarikat membantu Kerajaan Negeri menangani suasana mencabar akibat pandemik.

“KSSB dibentuk khusus untuk mengatur dan mengurus aktiviti kuari pasir di Selangor selain bertanggungjawab menyelenggara jalan raya bawah Jabatan Kerja Raya baru-baru ini.

“Jadi, sumbangan ini sebagai menyokong inisiatif Kerajaan Negeri dan akan disumbangkan kepada rakyat memerlukan,” katanya pada sidang media.

KSSB pernah merangkul tempat pertama bagi kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral Mampan (Pengedaran Mineral Bukan Logam) di Bangkok, Thailand pada 13 Disember 2019.