Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima syarikat rintis menang keseluruhan RM50,000, terima peluang pelaburan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Sebanyak lima syarikat tunas rintis terbaik berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000 pada hari demo Program Pemecut Selangor (SAP) kohort keempat semalam.

Syarikat eMLab, GFI Fintech, NexMind AI, Boss Boleh dan Farmy turut menerima Huawei Freebuds Pro serta peluang pelaburan dengan rakan strategik SAP meliputi RHL Ventures, AgroBank serta The Hive South East Asia.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata juri sukar menentukan syarikat layak berikutan 30 yang terpilih sangat kompetitif serta mahir dalam bidang masing-masing.

“Saya berharap semua syarikat tunas rintis terpilih akan memanfaatkan ilmu dan nasihat yang diberikan kepada mereka sepanjang program tiga bulan ini.

“Saya gembira melihat lebih banyak syarikat mengambil peluang mempamerkan idea dan penyelesaian mereka untuk diangkat agensi berkaitan,” kata Yong Kai Ping ketika berucap pada hari demo dan penganugerahan tersebut.

Acara kemuncak selepas tiga bulan latihan, bimbingan dan pembelajaran untuk 30 peserta SAP 2021 disempurnakan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Hari demo dinilai tujuh juri yang menyumbang 70 peratus skor penilaian manakala 30 peratus merangkumi prestasi dan kehadiran sepanjang program berlangsung.

Kai Ping turut berterima kasih kepada Affin Bank atas komitmen menyokong perusahaan kecil dan sederhana, syarikat tunas rintis serta inisiatif inovatif Sidec dalam menonjolkan Selangor sebagai hab digital Asia Tenggara.

SAP 2021 menerima 165 penyertaan berbanding 110 tahun lalu terdiri daripada pelbagai industri dengan memfokuskan lima tonggak utama iaitu teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.