Categories
AGENSI SELANGOR

Mahmud Abbas ketuai PKNS berkuat kuasa esok

SHAH ALAM, 30 SEPT: Dato’ Mahmud Abbas dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif baharu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkuat kuasa 1 Oktober.

Mantan pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal itu menggantikan penyandang terdahulu Siti Zubaidah Abd Jabar yang bersara pada 10 Ogos.

PKNS dalam kenyataan berkata Mahmud berperanan dalam pembangunan strategik sekitar Selangor selain mendukung aspirasi Kerajaan Negeri meningkatkan taraf sosio-ekonomi.

“Sebelum dilantik mengetuai PKNS, Mahmud berpengalaman lebih 30 tahun dalam korporat khususnya hartanah dan sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat tersenarai awam Knowledge Economic City di Madinah,” kata syarikat hartanah itu.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Brighton juga pernah berkhidmat sebagai pengarah urusan Central Spectrum Sdn Bhd selama tujuh tahun.

Sumbangan dan khidmat cemerlangnya melayakkan beliau menerima pelbagai anugerah peribadi antaranya Chief Executive of the Year 2017 daripada Selangor Excellence Business Awards.