Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mahu bantu mangsa Covid-19 dorong ramai sertai sukarelawan negeri

KLANG, 30 SEPT: Sebahagian besar individu yang menyertai Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) atas kesedaran mahu membantu golongan dijangkiti Covid-19.

Koordinator Suka Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berkata dalam situasi pandemik di mana ramai terkesan ada individu di dalam kumpulan itu yang berminat melakukan kerja amal tanpa menerima bayaran.

Koordinator Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) DUN Sungai Kandis Syaril Ali. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Apa yang dilakukan ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat kemasyarakatan. Mereka masing-masing mempunyai rasa tanggungjawab untuk membantu kerana dalam kalangan masyarakat bukan semua mendapat maklumat betul mengenai Covid-19,” kata Syaril Ali, 31.

Beliau sebelum ini bersama sembilan ahli Suka DUN Sungai Kandis serta wakil rakyat, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengedarkan 1,000 pek makanan kepada remaja yang menerima pelalian di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin di sini.

Katanya, setakat ini terdapat 15 sukarelawan di kawasan itu dengan tugasan akan dibahagikan mengikut kesesuaian berikutan setiap dari mereka mempunyai pekerjaan masing-masing.

Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) S Kalaimah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, S Kalaimah, 48, berkata menyertai badan sukarelawan itu adalah satu kepuasan apabila dapat membantu golongan yang berada dalam kesusahan.

“Saya aktif dengan kerja amal sejak dua tahun yang lalu dan menyertai Suka apabila ia diperkenalkan,” katanya.

Pada 5 Ogos, Kerajaan Negeri menubuhkan Suka untuk menjalankan aktiviti kesihatan awam di peringkat komuniti terutama berkaitan pandemik Covid-19.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata penyertaan terbuka kepada warganegara yang menetap di Selangor, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.

Sukarelawan terpilih akan dilatih modul bertemakan Covid-19 sebelum digerakkan ke seluruh 56 DUN di negeri ini.