Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis Selangor rampas lebih 13 tan udang, sotong sejuk beku dari Indonesia

SHAH ALAM, 28 SEPT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas udang dan sotong sejuk beku dari Indonesia seberat lebih 13 tan yang dianggarkan bernilai RM344,823 kerana tidak mempunyai permit import sah, di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat Ahad lepas.

Maqis Selangor dalam satu kenyataan berkata produk sejuk beku yang cuba dibawa masuk ke tanah air oleh sebuah syarikat tempatan itu dirampas selepas pemeriksaan rutin pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Maqis berkata tindakan penguatkuasaan akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.

-BERNAMA