Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI sumbang RM10,000 baiki surau di Sungai Air Tawar

SABAK BERNAM, 18 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi sumbangan RM10,000 kepada pentadbiran Surau Haji Hashim Simpang Tiga, Kampung Tengah di sini untuk kerja-kerja pembaikan.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata sumbangan itu dipersetujui setelah mesyuarat jawatankuasa dijalankan dengan mempertimbang keadaan surau yang agak daif.

“MBI mempunyai peruntukan zakat wakalah dan mana-mana masjid serta surau boleh menggunakannya untuk kerja pembaikan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan MBI di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Sabak Bernam di sini semalam.

Ahmad Azri berkata pihaknya turut menerima dua lagi permohonan pembaikan dua masjid di DUN sama.

“Bagi permohonan ini, kita sudah selaraskan ke pejabat Dato’ Menteri Besar untuk peruntukan lebih besar kerana pembaikan memerlukan kerja berat iaitu berlaku hakisan tanah melibatkan Jabatan Pengairan Saliran dan majlis daerah.

“Bagaimanapun perkara ini dibawa ke perbincangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.