Categories
PBT SELANGOR

MPSepang periksa tahap patuh SOP 38 pasar sari, malam

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjalankan pemeriksaan tatacara operasi piawai (SOP) di 38 pasar sari dan malam sekitarnya sejak 11 September hingga Sabtu lalu.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pemantauan itu dibuat bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi syarat dan SOP.

“Kita tidak membenarkan orang awam yang belum lengkap dos vaksin termasuk remaja bawah 17 tahun tanpa penjaga hadir ke pasar sari atau malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Abd Hamid berkata operasi pemantauan terhadap semua pasar awam juga kerap dilaksana termasuk program saringan Covid-19 secara berkala dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah.

Beliau menegaskan mana-mana individu yang gagal membuat saringan di bawah program tersebut wajib melakukan saringan ujian polimeras masa nyata (RT-PCR) di klinik swasta seterusnya mengemukakan keputusan kepada penguat kuasa sebelum memulakan perniagaan.