Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nilai risiko jangkitan kepada kanak-kanak sebelum buka sekolah

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan disaran mempertimbangkan semula pembukaan sesi persekolahan yang dijadual Oktober depan bagi mengelak pelajar terdedah kepada risiko penularan wabak.

Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) Dr Mohammad Farhan Rusli berkata corak peningkatan kes membabitkan kanak-kanak di luar negara yang belum menerima suntikan pelalian harus dijadikan iktibar.

“Sepertimana kita tahu kebanyakan pesakit Covid-19 tahap tiga dan empat adalah golongan berisiko tinggi. Jadi, kita tidak mahu kanak-kanak pula yang akan menggantikan kumpulan terbabit.

“Apabila kerajaan menetapkan sekolah ingin dibuka Oktober ini, adakah ia langkah wajar?. Seharusnya menilai terlebih dahulu bagaimana untuk membuka sesuatu sektor dengan cara lebih selamat sebelum membuat keputusan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 15 Ogos, menteri pendidikan memaklumkan tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri fasa dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah 3 Oktober, dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata bagi negeri fasa dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi fasa tiga, pembukaan penuh dibenarkan. Bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri fasa satu PPN.

Sementara itu, Dr Mohammad Farhan mengakui pola jangkitan harian dan kematian akibat Covid-19 di Selangor yang mencatat penurunan beberapa hari kebelakangan ini hasil kejayaan program vaksinasi.

“Penurunan kes akan nampak tetapi harus ingat kadar vaksinasi kita masih lagi tidak mencapai tahap tinggi kerana denominator digunakan mungkin tidak tepat dan tidak mengambil kira peratusan bukan warganegara serta mereka yang tiada permit,” katanya.