Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar sah nilai biodiversiti hutan gantian setaraf HSKLU

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kajian pakar perunding UPM Consultancy & Services Sdn Bhd mengesahkan kawasan yang dipilih menggantikan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) mempunyai nilai biodiversiti hampir sama.

Pengarah Perhutanan Selangor berkata kawasan gantian seluas 581.48 hektar menggantikan 536.7 hektar yang dinyahwarta terletak di mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam (308.62 hektar); Ampang Pechah, mukim Buloh Telor, Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, Mukim Semenyih, Hulu Langat (63.88 hektar).

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid memaklumkan hutan paya gambut di Mukim Sungai Panjang sama jenis hutan dengan HSKLU manakala di Ampang Pechah dan Bukit Broga terdiri jenis hutan bukit.

“Kawasan gantian Ampang Pechah mempunyai kepentingan koridor rangkaian ekologi hidupan liar dikenali sebagai tulang belakang hutan tengah (CFS) seperti ditetapkan dalam Rancangan Fizikal Negara ketiga.

“Selain itu kawasan Bukit Broga mempunyai nilai ekopelancongan yang tinggi dan merupakan antara tarikan kawasan pendakian utama di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Satu sesi pendengaran awam dianjurkan pada 27 September tahun sama bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan
ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.