Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Pandangan tidak perlu usul percaya PM ‘derhaka’ pada Agong

SHAH ALAM, 5 SEPT: Pandangan peguam negara tidak perlu undi percaya di Parlimen dianggap biadap, melanggar semangat perlembagaan dan derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Majlis presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam kenyataan berkata tindakan kali kedua peguam negara amat mengecewakan dan beliau dilihat tidak layak memegang jawatan tersebut.

“PAKATAN menjunjung titah Seri Paduka Baginda bahawa undi percaya perlu dikemuka dan diluluskan untuk mengabsahkan perdana menteri ada kepercayaan majoriti pada sidang Parlimen 13 September ini.

“Perdana menteri tidak harus mengguna pakai nasihat peguam negara yang salah ini jika tidak mahu mengikuti jejak langkah mantan perdana menteri kelapan yang mengakibatkan ketidakstabilan politik apabila keabsahan beliau sentiasa diragui dan dipertikai,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Majlis presiden berkata kenyataan peguam negara bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos.

“Penting diingatkan bahawa peguam negara telah hadir, menjadi saksi malah telah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap ini.

“Di manakah logik dan kewarasan peguam negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik perdana menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda?” soal mereka.

PAKATAN turut mengimbas duluan sebelum ini apabila usul percaya dilakukan selepas Yang di-Pertuan Agong melantik seseorang perdana menteri bagi menggantikan perdana menteri sebelumnya.

Undi percaya pernah dilakukan pada 27 Januari 1976 iaitu 12 hari setelah Tun Hussein Onn dilantik sebagai perdana menteri untuk menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Undi percaya juga dilakukan pada 3 November 2003, tiga hari selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai perdana menteri untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Tan Sri Idrus Harun berkata tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan perdana menteri baharu atau kerajaan pimpinannya kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang.

Pada 18 Ogos Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya perdana menteri yang dilantik perlu mengemukakan segera usul undi di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan jawatan beliau.