Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja, siasat isu berkaitan SPRM

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) mencadangkan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis Presiden PAKATAN dalam kenyataan berkata kerajaan wajar menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pembentukan suruhanjaya berkenaan.

“PAKATAN berpandangan bahawa kerajaan wajar mempertimbang menasihatkan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu-isu berhubung SPRM serta mencadangkan langkah mereformasi institusi penting ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Pada 20 September, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Majid.

Susulan itu, PAKATAN menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki direhatkan sementara daripada menjalankan sebarang tugas sehingga siasatan penuh dilakukan.

“Tahanan reman tersebut telah menimbulkan persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri.

“Kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka, siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan,” tambah kenyataan itu.

Majlis Presiden PAKATAN juga menyambut baik satu kertas inkuiri polis dibuka terhadap kes terbabit.