Categories
AGENDA NASIONAL

Pembeli harap harga ayam turun, rakyat bergelut dengan kesan pandemik

SHAH ALAM, 21 SEPT: Rata-rata pembeli akur dengan ketetapan harga ayam di pasaran antara RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram yang dianggap masih membebankan.

Rejumah Dahalan, 72. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pembeli, Rejumah Dahalan, 72, bagaimanapun berkata kenaikan harga ketika ini tidak wajar memandangkan ramai rakyat bergelut dengan masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19.

“Saya terkejut apabila melihat harga ayam naik kepada RM9.50, kalau ikutkan memang mahal dan membebankan sebab sebelum ini saya beli hanya RM7.90 sekilogram.

“Tetapi nak buat macam mana, cucu-cucu saya suka makan ayam, mahu atau tidak kena beli juga,” kata nenek kepada enam cucu ketika ditemui di Pasar Awam Seksyen 6 di sini hari ini.

Bagi Zailan Nor Salleh, 41, meskipun kenaikan harga ayam hanya memberi sedikit kesan terhadapnya, namun berharap masalah tersebut diatasi segera.

Zailan Nor Salleh, 41. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengurus jenama syarikat perniagaan makanan dan minuman berkata dia memahami situasi dihadapi peniaga yang mendapat bekalan ayam daripada orang tengah atau pembekal.

“Kalau boleh kita nak harga kembali seperti sedia kala, apatah lagi saya sering berbelanja sehingga RM300 sebulan untuk mendapatkan barang basah seperti ayam, ikan, sotong dan daging.

“Saya faham peniaga tiada pilihan lain dan terpaksa berbuat demikian, mereka pun nak dapat keuntungan, ditambah pula perlu membayar kos upah pekerja serta fasiliti,” kata bapa tiga anak yang tinggal di Bandar Puncak Alam.