Categories
AGENDA NASIONAL

Peratus guna katil pesakit Covid-19 di Selangor turun sehingga 57 peratus

SHAH ALAM, 9 SEPTEMBER: Peratus penggunaan katil hospital di Selangor bagi merawat pesakit Covid-19 terus menunjukkan penurunan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kapasiti dan peratus menurun itu adalah impak dari program vaksinasi yang diadakan secara meluas di Lembah Klang.

“Kapasiti dan peratus penggunaan katil hospital di Selangor terus mencatatkan penurunan sehingga mencecah 57 peratus. Ini adalah impak utama hasil kadar vaksinasi yang tinggi di Lembah Klang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau juga turut berkongsi data penggunaan katil dari Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan hanya 57 peratus dari 4,019 katil bukan unit rawatan rapi (ICU) digunakan.

Manakala wad ICU bagi merawat pesakit kritikal kadar penggunaan katil adalah 94 peratus dari 317 katil.

Pada 2 September lalu, berdasarkan data dikongsi Kementerian Kesihatan di Facebook, sebanyak 66 peratus daripada 4,247 katil di wad bukan ICU diguna.

Penggunaan 350 katil di ICU tiga hospital itu pula pada kadar 99 peratus bagi merawat pesakit kategori kritikal.