Categories
AGENDA NASIONAL

Pinda perlembagaan lantik pembangkang jadi timbalan speaker Dewan Rakyat

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan akan meminda Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan untuk menambah jawatan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat kepada tiga dengan satu daripadanya diisi wakil pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata atas sebab itu kerajaan memohon pemilihan timbalan yang dipertua baharu yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan.

Menurut Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan meminda Perkara 57(1)(b) untuk memilih tiga timbalan yang dipertua berbanding dua pada masa ini.

“Walaupun dalam perlembagaan tidak tetapkan siapa menjadi timbalan kerana dipilih ahli Dewan Rakyat, maka kita akan buat peraturan seorang daripada tiga disandang wakil pembangkang.

“Saya sudah berbincang dengan Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) supaya pindaan ini dibawa pada sidang ini untuk bacaan kali pertama dan dilulus Oktober depan,” katanya.

Usul menangguhkan pemilihan itu yang dibawa oleh Wan Junaidi diluluskan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Satu daripada dua jawatan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat kosong susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 23 Ogos lalu.