Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program Selvax bergerak secara percuma di 11 DUN mulai esok

SHAH ALAM, 11 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir dari menerima pelalian akan bermula esok hingga 18 September depan.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah berkata program selama seminggu itu bermula dari 9 pagi hingga 5 petang melibatkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN terbabit adalah Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

“Bagi yang belum menerima vaksinasi anda dijemput hadir terus (walk-in) ke lokasi berdekatan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secara percuma,” katanya di Facebook.

Kelmarin Dr Siti Mariah berkata program bertujuan memastikan semua rakyat Selangor menerima pelalian itu menyasarkan 1,000 individu disuntik sehari.

Pada 24 Ogos beliau memaklumkan program itu akan menempatkan klinik bergerak di sesuatu lokasi berpandukan maklum balas jumlah individu belum divaksin.