Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor sumbang dron RM75,000 mudahkan sembur racun, baja padi

SABAK BERNAM, 10 SEPT: Kerajaan Negeri menyumbang seunit dron bernilai RM75,000 kepada Koperasi Wawasan Tani Berhad Simpang Lima Sungai Besar untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti tanaman padi.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata bantuan teknologi itu membolehkan aktiviti pembajaan dan penyemburan racun di kawasan tanaman padi seluas 500 hektar diselia koperasi terbabit lebih efektif.

“Ini bukan benda baharu kerana ketika lawatan saya di koperasi ini tiga tahun lepas, mereka sebenarnya telah membeli sendiri dron dengan harga lebih murah dan penggunaannya didapati berkesan.

Izham Hashim bercakap kepada media selepas menyerahkan dron untuk kegunaan petani ketika lawatan Koperasi Wawasan Tani Simpang Lima Sungai Besar Berhad di Parit 15, Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jadi, kita buat keputusan beli satu lagi dron sebagai hadiah supaya mereka dapat tingkatkan lagi usaha memodenkan pertanian.

“Cuma kali ini lebih besar selain mampu membawa kapasiti 20 liter racun dan baja untuk sekali gerakan dalam tempoh 15 minit berbanding 10 liter sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat koperasi terbabit di Parit 15, Simpang Lima dekat sini semalam sambil diiringi wakil rakyat Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin.

Sementara itu, pengerusinya gembira kerana penantian lima tahun untuk mendapatkan dron baharu jenis T20 berakhir sekali gus membuktikan keupayaan mengendalikan alatan berkenaan dalam aktiviti pertanian.

Mohd Maksom Ramli menjelaskan pemberian alat teknologi itu sebagai tambahan kepada tiga unit dron sedia ada yang digunakan sejak 2015.

Pengerusi Koperasi Wawasan Tani Simpang Lima Sungai Besar Berhad, Mohd Maksom Ramli

“Kita antara yang terawal menggunakan inovasi dron dalam aktiviti pertanian padi. Permohonan bantuan pernah dibuat pada 2016, tetapi mengambil maklum bahawa perlu meyakinkan mereka (Kerajaan Negeri) selain melalui proses tertentu.

“Alhamdulillah, kami berjaya buktikan dan melahirkan 20 pengendali dron dalam kalangan anak muda. Malah, kebanyakan mereka sudah mampu berdikari di luar sana serta mempunyai dron sendiri,” katanya.